Friday 26 April 2013

MERCU TANDA SERLAH IDENTITI BANDAR DIRAJA MUAR #P146



Sebagai mengenang perisytiharan Muar sebagai Bandar Diraja, satu mercu tanda dibina di pertengahan bulatan (roundabout) berhampiran bersebelahan Wetex Parade. Mercu tanda ini berupa pintu gerbang berbentuk gading gajah gergasi yang diatasnya terdapat Mahkota. Ia dibina sedemikian rupa sebagai memperingati pintu gerbang yang pernah dibina pada 1960 iaitu Gerbang Mahkota dimana pemilihan mahkota sebagai memperingati Kesultanan Johor yang merupakan kesultanan pertama mempunyai mahkota sendiri pada masa itu sekitar tahun 1880an.

Dengan rekabentuknya yang klasik dan cantik, ia menambah lagi keunikan Bandar Diraja ini dan menjadi kebanggaan penduduk Muar. Selain mercu tanda unik ini, turut dibina di dalam kawasan itu termasuklah laluan pejalan kaki, pancur air, landskap dan lampu neon yang nyata menarik perhatian mereka yang melalui jalan bulatan itu.

Untuk rekod, Bandar Muar dikenali sebagai Bandar Diraja Johor selepas pengistiharan rasmi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 25 November tahun lalu sempena Sambutan Ulangtahun Hari Keputeraan Baginda. Terdahulu, Muar dikenali sebagai Bandar Maharani dimana gelaran itu diberikan oleh Maharaja Abu Bakar dan digunapakai sejak tahun 1884.

Sepanjang pemerhatian penulis yang juga anak Muar, kehidupan di sini amat menyenangkan dengan suasana tenang yang menyaluti perjalanan kehidupan di sini. Di kawasan bandar, kerancakan ekonomi berada di tahap yang memberansangkan dengan pelbagai jenis perniagaan dilihat mampu meletakkan Bandar Diraja ini di tahapnya yang tersendiri.

~ar

0 comments:

Post a Comment