WK sudah dua minggu berada di bumi Muar membantu jentera
BN menjalankan tugas sempena PRU13 yang akan berlangsung pada 5 Mei nanti.
Pelbagai perkara yang dapat WK lihat dan alami sepanjang berada di sini.
Kesiapsiagaan jentera BN menghadapi PRU kali ini tidak
dapat dinafikan lagi. Walaupun di saat-saat akhir terdapat pelbagai halangan
dalam menjalankan tugas membantu kempen calon yang telah dipilih pucuk pimpinan
parti, semua itu tidak menjadi batu penghalang untuk tugas dilaksanakan dengan
sebaiknya.
Anak-anak muda belia yang menjadi sukarelawan BN
seharusnya dipuji atas sikap cemerlang mereka. Walaupun hanya bergelar
sukarelawan, tugasan yang diberi untuk menaikkan nama BN tidak dilakukan dengan
main-main.
Jika tiada mereka ini, mungkin tidak semeriah ini perang
bendera berlaku di Bandar Muar ini. Begitu juga dengan pengedaran buku
pencapaian calon P146 yang telah dua penggal menjadi YB di Muar ini, mungkin
tidak mencapai sasarannya tanpa para belia sukarelawan ini.
Namun, dalam pelbagai kebaikan yang mereka lakukan,
terselit juga sedikit rasa tidak puas hati dengan tindakan mereka.
Mungkin tiada yang memberikan teguran kepada mereka, atau
juga mungkin tidak bertindak atas faktor bimbang hilangnya sokongan daripada
golongan belia ini, beberapa orang anak muda yang membentuk sebuah kumpulan
bermotosikal dibiarkan membuat provokasi.
Tidak dinafikan, darah muda sudah pasti mudah menimbulkan
provokasi jika berhadapan dengan parti lawan. Namun sebarang tindakan kurang
matang seharusnya berjaya dikawal daripada berlaku.
Berkongsi pengalaman WK duduk minum di awal pagi
sementara menunggu mata mengantuk, WK dapat melihat sekumpulan belia
bermotosikal yang mungkin cuba membuat provokasi terhadap calon lawan di sebuah
restoran 24 jam di Bandar Muar ini.
Mujur sahaja hanya ada sebuah motosikal yang dihiasi dengan
bendera PKR diparkir di hadapan restoran tersebut. Jika ada beberapa buah,
mungkin akan berlaku perkara yang tidak diingini.
Pendapat WK, perkara sebegini seharusnya tidak berlaku di
saat-saat ini. Seharusnya ada yang menegur mereka ini supaya tidak berbuat
sesuatu yang boleh memburukkan nama dan menjatuhkan reputasi BN di mata
masyarakat.
Perkara-perkara provokasi ini janganlah dilakukan. Rakyat
sentiasa menjadi pemerhati. Jangan pula kerana kesilapan kecil seperti ini
dilakukan, BN bakal kehilangan beberapa undi.
Seboleh-bolehnya janganlah ada di antara jentera BN,
pengamal media dan para blogger yang pro BN, para sukarelawan BN yang membuat
sebarang provokasi terhadap parti lawan. Ini untuk mengelakkan sebarang perkara
yang tidak diingini berlaku.
0 comments:
Post a Comment